18 August 2010

KONSEP PENGURUSAN HATI (BAH. 1)

Masalah sikap adalah masalah pokok yang menyebabkan golongan bumiputera banyak tertinggal dalam menjalankan kewajipannya sebagai khalifah di muka bumi ini. Sikap yang lemah adalah seperti rendah diri, tidak yakin kepada diri sendiri, tidak berdikari dan malas menyebabkan potensi sebenar yang ada dalam diri kita tidak muncul dan tidak berkembang. Sedangkan potensi itulah yang dapat menguatkan generasi bumiputera. sementara itu, sikap buruk seperti sombong, tamak, dan menipu akan melemahkan kekuatan yang sedia ada. Dengan itu, kekuatan dan kebaikan tadi tidak membawa kesan dan manfaat yang besar bagi kepentingan dan kemajuan bangsa.Konsep GIGIH dan visi bagi meraih kekayaan sejati bermula dengan cara kita membentuk sikap yang betul, maka perlu terlebih dulu mengubah persepsi kita. Persepsi adalah pandangan kita pada potensi-potensi yang ada dalam diri kita. apabila kita sentiasa melihat diri kita sebagai orang yang gagal, maka sampai bila-bila pun kita gagal dan tidak mampu berjaya.
Dalam konsep pengurusan hati, perubahan persepsi perlu dimulakan dengan mengukur hati. Kita dapat mengubah persepsi kita dengan berkesan apabila kita menggunakan saranan hati. Hati yang menuju jalan kepada Allah menunjukkan manusia perlu pada asasnya mempunyai sifat yang baik.



15 August 2010

SINAR PASTI MENJELMA (BAHAGIAN 3)

Sebagai seorang pejuang yang dahagakan kemenangan yang mutlak, kita harus sentiasa menyemat di hati kita bahawa MyJ akan sentiasa menyala dan membara di hati kita. Sentiasa tanamkan di dalam hati kita untuk berjaya bersama MyJ, kita mesti dekatkan MyJ di hati kita.

Dalam perniagaan ini kita harus bersungguh-sungguh. Bahkan di dalam kehidupan kita seharian pun kita mesti sentiasa bersungguh-sungguh. Dan untuk berjaya, tidak ada jalan lain, mesti dengan tindakan yang bersungguh-sungguh.Sesungguhnya landasan yang telah dibuat oleh MyJ cukup selesa dan hebat. Cuma kita gerakkan diri kita untuk berada di landasan itu. Jangan langgar penghalang kerana kita akan dapat sakit. Namun gunakan kebijaksanaan untuk menghindari penghalang itu. Yang pasti kita mampu bergerak deras untuk mencapai matlamat perjuangan kita sebagai usahawan jutawan.

SINAR PASTI MENJELMA (BAHAGIAN 2)

Berbalik kepada perbincangan pada bahagian yang pertama, kita harus sentiasa sedar dan insaf bahawa tidak akan ada sesiapa yang mampu menghalang kemahuan kita untuk berjaya. Tidak akan ada (dengan izin Allah), yang mampu memusnahkan perancangan merealisasikan impian kita. Usah seperti orang yang latah, mudah panik dan bertindak seperti orang yang yang sentiasa menampakkan kegagalan, walaupun cuma dipermainkan dengan sedikit cabaran dan badai.
Kita harus sentiasa beringat, bahawa kita sudah melangkah ke dalam dunia perniagaan; kita sudah tahu cabaran dan dugaan yang bakal kita terima. Kita sudah sedia faham sepak terajang dalam dunia perniagaan. Oleh itu, kita tidak harus sentiasa merintih dan bersedih, dan sering bersarang dengan pertanyaan, "Kalau aku gagal bagaimana?"
MyJ telah membuka lembaran baru kepada golongan bumiputera untuk maju dan berdaya saing. MyJ telah mendidik kita menjadi generasi maju yang sentiasa berusaha mencari peluang dan ruang. MyJ telah membuka fikiran kita bahawa kita juga adalah bangsa yang mampu bersaing dalam perniagaan dan menjadi masyarakat yang hebat.

MyJ telah membimbing kita menjadi seorang manusia yang mempunyai watak yang berani untuk berjaya. myJ telah menjana minda kita untuk sentiasa berfikir dan bertindak sebagai watak wira untuk berjaya.

13 August 2010

SINAR PASTI MENJELMA (BAHAGIAN 1)


Dalam kita merempuh kehidupan masa depan, kita tidak harus mengalah dengan gelora cabaran yang mendatang kerana sesungguhnya, kita harus berani untuk bersaing dan berupaya mengubah kehidupan masa depan. Kemanisan hidup akan dapat ditrasai andai kita mampu dan berupaya menilai diri dengan rasa sabar, semangat yang tinggi dan seronok menghadapi kehidupan.

Sebab itu kita tidak boleh menjadi insan yang sentiasa mengeluh, mudah rasa rendah diri, selalu berfikir tentang kegagalan kerana kita sendiri yang mendidik potensi diri kita ke arah kehancuran. didiklah diri menjadi generasi yang berada di garisan hadapan. Generasi yang tidak takut untuk berubah menjadi insan yang besar wataknya; insan yang besar kejayaannya.
Keharusan di dalam kehidupan, bahawa kita selalu 'Think Big', berfikir perkara yang muluk-muluk; yang besar-besar; yang hebat-hebat. Barulah kita dapat menikmati kehidupan yang cuba kita rasa. Bagaimana Bill Gates berfikir? Bagaimana Tony Fernandes berfikir? Bagaimana Goh Chok Thong berfikir? Dan bagaimana pula kita berfikir? Selalu berfikiran kecil sudah pasti kita akan dapat perkara yang kecil-kecil sahaja.

Kita yang telah menentukan apa yang akan kita dapat dan nikmati. Oleh itu, kita harus berfikir seperti orang yang telah berjaya; berfikir tentang perkara yang besar-besar. Barulah kita dapat dengan semangat yang jitu dan membara. Kita akan berwatak kukuh seteguh karang menghalang gelombang datang melanda. Barulah kita boleh berjuang tanpa ada sesiapa yang mampu menghalang KITA UNTUK BERJAYA.

11 August 2010

SIMUNJAN: SATU LANGKAH PERMULAAN...

Bersama Group SSM Bojeng, kami telah mengadakan satu program khas pengenalan MyJ kepada penduduk di Pekan Simunjan. Simunjan adalah sebuah pekan kecil yang terletak 150 km dari bandaraya Kuching. Perjalanan kami yang mengambil masa lebih kurang 2 jam dan tiba di Pekan Simunjan pada pukul 10.00 pagi. Penduduk Simunjan yang terdiri dari berbilang kaum terutamanya kaum Melayu dan Iban.
Apa yang menghairankan rombongan kami, penduduk Pekan Simunjan hanya ramai keluar rumah pada waktu pagi dan di sebelah petang, penduduknya lebih gemar beristirehat di rumah sahaja. Sebab itu, pada waktu petang, keadaan Pekan Simunjan agak sunyi sepi.
Aktiviti diadakan di Pekan Simunjan dan di rumah ketua kampung dekat situ. Masih banyak perkara yang kita rancangkan bersama penduduk Simunjan untuk masa depan terutama program menjana belia bersama ADUN kawasan tersebut.

Kami berangkat pulang pada petang itu menggunakan feri Batang Sadong dan melalui Samarahan. Misi di Simunjan perlu terus dilaksanakan bagi memperkukuh MyJ di seluruh Bumi Kenyalang.

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya:

Tafsirnya:

“Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”

(Surah Al-Ma’idah: 42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka dia terlindung daripada kerajaan langit.

6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu

ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Di antara huraian atau maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halalpun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj(kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Mudah-mudahan kelebihan puasa sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:

“Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah ‘azzawajalla berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada maksud hadis di atas diharapkan akan mendorong seseorang itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Sumber : Mufti Brunei